Kes pegawai tentera memandu dalam keadaan Mabuk: MINDEF serah kepada polis

Kes pegawai tentera memandu dalam keadaan Mabuk: MINDEF serah kepada polis

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) mengambil pendirian tegas untuk tidak masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat insiden kemalangan maut membabitkan seorang pegawai tentera yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol, pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang akan mengatasi undang-undang dan siasatan telus perlu dijalankan tanpa mengambil kira status atau latar belakang individu terlibat.

“Biar polis lakukan siasatan. Saya tidak dapat menentukan (punca atau tindakan lanjut) buat masa ini. Walaupun itu anggota tentera, biarlah polis yang siasat,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

Dalam insiden tragis yang berlaku awal pagi tadi, seorang lelaki warga Bangladesh dilaporkan meninggal duniadi tempat kejadian, manakala seorang wanita warga asing yang juga rakan senegaranya mengalami kecederaan parah.

Kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu (pegawai tentera) yang memandu dalam keadaan mabuk sebelum merempuh mangsa.

Setakat ini, pihak polis masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan di bawah akta berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak pendakwaan.