MAJLIS Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mempertahankan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.
Perundingan yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berlangsung hari ini.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan kerajaan negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini, 14 Adun UMNO-BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta kerajaan negeri.
Keputusan itu diambil kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Aminuddin dalam menguruskan krisis adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Bagaimanapun Ahmad Zahid menegaskan kesemua 14 Adun BN UMNO – BN kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan.
Manakala Annuar pula meminta Aminuddin meneruskan tugas menteri besar seperti biasa selaras titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.




