Kerajaan lulus bantuan pendahuluan RM200 kepada pesawah

Kerajaan lulus bantuan pendahuluan RM200 kepada pesawah

KERAJAAN menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju menyalurkan wang pendahuluan sebanyak RM200 kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi memastikan kelangsungan operasi penanaman padi musim ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, peruntukan berjumlah RM48 juta telah diluluskan minggu ini bagi membolehkan agihan Bantuan Khas Insentif Pembajakan tersebut disegerakan kepada golongan sasar.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut diambil bagi meringankan beban modal pesawah yang kini perlu menyewa jentera untuk memulakan kerja-kerja di sawah.

“Mesyuarat tadi, MTEN bersetuju membayar wang pendahuluan iaitu kadar khas insentif pembajakan kerana mereka (pesawah) terpaksa menyewa mesin bajak, jadi operasi pembajakan itu mesti diteruskan tetapi mereka perlukan modal.

“Oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” katanya dalam sidang media Krisis Bekalan Global yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa sektor pertanian negara, Anwar berkata kerajaan amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi pesawah, khususnya di Kedah yang terkesan akibat fenomena kemarau panjang.

Bagi menangani isu tersebut, beliau telah mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mempertingkatkan operasi pembenihan awan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya lagi, langkah proaktif ini adalah kesinambungan kepada peningkatan bantuan yang diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini bagi mengimbangi kenaikan kos operasi.

“Tetapi di kalangan pesawah padi, keluhan itu didengar. Kita telah tambah umpamanya bantuan khas insentif pembajakan pada 14 April lalu seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Bantuan itu ditingkatkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran kenaikan harga diesel komersial,” katanya.