UMNO dan Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa selesa dalam jalinan kerjasama bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keselesaan tersebut bukan satu bentuk kelekaan, sebaliknya ia dibina atas dasar persefahaman yang kukuh bagi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.
Menurut Ahmad Zahid, matlamat utama setiap parti dalam blok kerajaan ketika ini adalah untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau mendedahkan bahawa hampir 47 peratus kandungan manifesto antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mempunyai titik persamaan, terutamanya melibatkan isu-isu kritikal seperti kos sara hidup, pendidikan dan isu pengangguran.
“Kenapa kita mahu melayan perbezaan jika kita mempunyai matlamat yang sama? Kita mempunyai Majlis Perundingan Antara Parti untuk merundingkan perbezaan dan melaksanakan kebersamaan,” katanya dalam satu temu bual khas yang disiarkan Sinar Harian sempena ulang tahun ke-80 UMNO.
Mengulas lanjut mengenai dinamika kerjasama tersebut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa semua pihak termasuk DAP, memberikan penghormatan penuh terhadap empat tonggak utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, tumpuan kini adalah untuk memastikan setiap agenda pembangunan dilaksanakan secara berkesan tanpa diganggu oleh perbezaan pandangan yang boleh menyulitkan kedudukan rakyat.
Tegasan ini sekali gus menangkis spekulasi mengenai hala tuju UMNO dalam mendepani landskap politik negara yang semakin dinamik menjelang pilihan raya akan datang.



