PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menegaskan bahawa isu kepercayaan menjadi tembok penghalang utama untuk menghidupkan semula kerjasama politik antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).
Ahmad Zahid mendedahkan, pengalaman pahit ketika pembentukan MN sebelum ini membuktikan wujudnya masalah dalaman yang serius, sekali gus menjejaskan keikhlasan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.
Tegasnya, kegagalan kerjasama tersebut untuk bertahan sehingga ke hari ini berpunca daripada sikap pihak lawan yang didakwa tidak setia kepada kesepakatan yang telah dibina.
“Dulu, saya yang memulakan Muafakat Nasional tetapi ‘DNA’ mereka adalah khianat.
“Kalau mereka boleh buang sikap itu, mungkin kita boleh pertimbangkan semula. Namun jika masih ada, lebih baik kita lupakan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pelan Dasar Sosial Negara, di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu hadir sebagai respon kepada pelawaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum itu menggesa UMNO menilai semula hala tuju politik mereka untuk kembali bekerjasama.
Abdul Hadi dalam nada kritikal mendakwa keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bersama PKR dan DAP telah melemahkan parti tersebut serta dianggap menyimpang daripada asas perjuangan Islam dan Melayu.
Oleh itu Abdul Hadi menyeru UMNO untuk kembali semula ke pangkal jalan selain menyifatkan agenda perjuangan Islam PAS dan UMNO adalah sama.
Untuk rekod, MN dimeterai pada 2019 sebagai wadah penyatuan politik Melayu-Islam, namun gabungan itu mula retak dan akhirnya terkubur menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas kedua-dua parti memilih haluan berbeza.



