BELUM ada sebarang isyarat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan utama kerajaan buat masa ini adalah menyelesaikan masalah rakyat khususnya golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang memerlukan bantuan.
“Perdana Menteri belum memberi apa-apa ‘signal’ (isyarat) PRU16 akan berlangsung pada tahun ini.
“Tapi memang Perdana Menteri menegaskan usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama rakyat biasa mesti disantuni dan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di Dewan Merbau, IWK Ecopark, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun katanya, pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Walaupun belum ada kepastian mengenai pilihan raya dalam masa terdekat, persediaan jentera tetap perlu diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya walaupun mungkin bukan sekarang, tapi tidak mustahil dalam masa yang tidak terlalu lama.
“Kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan berkaitan PRN Johor,” katanya.




