Mudahnya PAS beri ‘pengampunan’ terhadap Nik Zawawi

Mudahnya PAS beri ‘pengampunan’ terhadap Nik Zawawi

PAS menyifatkan permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Rasul SAW telah memadai.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Nik Zawawi yang mengakui kesilapan, menarik balik kenyataan, serta memohon maaf secara terbuka sudah cukup untuk parti memaafkan beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun apa yang paling utama adalah keberanian untuk memperbetulkan keadaan.

“Apabila teguran diterima, beliau mengaku kesilapan dan membuat kenyataan rasmi memohon maaf serta menarik balik kenyataannya, saya fikir bagi kita itu memadai. 

“Itu yang terbaik buat masa ini,” katanya ketika ditemui media di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Khamis.

Tuan Ibrahim mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap Nik Zawawi yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Nabi dalam satu ceramahnya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kelmarin, Nik Zawawi memohon maaf kerana melabelkan sahabat Nabi sebagai “bapa ceti” serta “samseng dan suka berzina”.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membangkitkan kisah zaman jahiliah seseorang, terutamanya jika melibatkan para sahabat Nabi yang telah dijamin syurga.

Beliau turut menyifatkan insiden tersebut sebagai satu pengajaran besar buat semua pendakwah dan penceramah agar lebih berwaspada ketika menyampaikan ucapan berkaitan agama.

“Macam Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA, kita tahu mereka merupakan golongan yang dijamin syurga oleh Allah SWT. Jadi, kita perlu lebih berhati-hati,” katanya.