T20 terus nikmati subsidi BUDI95

T20 terus nikmati subsidi BUDI95

PELAKASANAAN skim subsidi minyak BUDI95 akan dikekalkan demi memastikan proses pengagihan subsidi bahan api kepada rakyat di negara ini berjalan dengan lebih lancar dan sistematik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa inisiatif berkenaan telah melalui proses perbincangan yang panjang sebelum mendapat persetujuan majoriti anggota Kabinet.

Menurut beliau, kerajaan memilih untuk mengekalkan sistem tersebut kerana mekanismenya yang jauh lebih mudah dan praktikal untuk diakses oleh rakyat.

“Kita sudah mempermudahkan keseluruhan proses. Kabinet membincangkan perkara ini dalam tempoh yang lama dan kebanyakan anggota Kabinet bersetuju bahawa sistem itu perlu mudah.

“BUDI95 ialah sistem yang sangat mudah kerana membolehkan semua rakyat Malaysia menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi dalam persekitaran serta kuantiti terkawal supaya tidak berlaku ketirisan. Jadi, kita mengekalkan sistem itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026, memetik laporan Harian Metro, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai desas-desus berhubung penarikan bantuan tersebut, Anthony Loke menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan dibuat untuk memotong subsidi bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) buat masa ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu keciciran dalam agihan bantuan Budi Diesel membabitkan segelintir pihak seperti pemilik trak tunda, beliau menjelaskan bahawa tiada mana-mana sistem yang mampu memberikan perlindungan secara menyeluruh atau meliputi 100 peratus pihak.

Bagaimanapun, beliau optimis bahawa sektor-sektor kritikal yang menjadi nadi kepada ekonomi dan keperluan rakyat telah pun diserap ke dalam sistem subsidi sedia ada.

“Namun, saya fikir kebanyakan barangan dan industri penting sudah diliputi dalam sistem subsidi semasa, terutama kenderaan komersial yang membawa barangan keperluan dan kontena. Mereka masih menikmati subsidi pada kadar bersubsidi dan saya melihat sistem itu berjalan dengan baik sejak dua bulan lalu.

“Paling penting, kita memastikan bekalan diesel kekal stabil. Di Malaysia, kita tidak berdepan masalah bekalan,” katanya.