RAKYAT Johor digesa memilih pemimpin yang bijak, tidak sombong dan sealiran dengan Putrajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ciri kepemimpin seumpama itu amat penting bagi membolehkan keputusan yang berani dibuat kerana Johor adalah sebahagian daripada Malaysia.
“Buat apa nak sombong, gaduh? Kita perlu pilih pemimpin yang bijak. Kita mahu wakil rakyat di negeri, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), EXCO yang ambil tahu masalah rakyat.
“Kita mahu ketua di negeri, macam PM (Perdana Menteri) yang menyerlah. Kawan dengan (Presiden Amerika Syarikat) Dolnald Trump…kawan dengan (Presiden China) Xi Jinping.
“Baru orang hormat kita, kita bebas merdeka, kita berkawan semua orang tapi kita jaga kita punya prinsip. Dia buat tak betul (di Gaza), kita cakap tak betul. Bukan cakap-cakap depan orang.
“Sebab itu pilihan raya ini (Pilihan Raya Negeri) penting, saya minta rakyat pilihlah kerajaan negeri yang boleh bersama dengan Persekutuan.
“Kenapa sibuk pasal Johor? Sebab itu, saya kata, pimpinan di Johor ini mesti orang yang bijak dan berani, barulah dia boleh buat keputusan, jaga kepentingan Johor,” katanya lapor BH Online.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ceramah PH di Bakri, malam tadi.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pentingnya kerajaan Johor sealiran dengan pusat kerana memudahkan sebarang rundingan, perbincangan berkaitan dasar negara.
Katanya, Johor adalah antara negeri terkaya namun masih terdapat banyak infrastruktur yang perlu diberikan perhatian.



