UNIVERSITI Malaysia Perlis (UNIMAP) membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan amalan menjual tempat pengajian dan kemasukan pelajar melalui ‘jalan belakang’ ke universiti awam yang tular menerusi satu ceramah politik baru-baru ini.
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UNIMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
“UNIMAP menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada PDRM dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pada masa sama, UNIMAP akan terus mempertahankan nama baik universiti dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara daripada sebarang dakwaan yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan kerana ia boleh mengelirukan masyarakat serta menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi pendidikan tinggi awam.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli menegaskan universiti itu menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud amalan menjual tempat atau kemasukan melalui pintu belakang ke universiti awam.
“Dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi awam yang selama ini beroperasi berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
“Sistem kemasukan pelajar ke universiti awam bukan sesuatu yang boleh dimanipulasi sesuka hati oleh mana-mana pihak,” katanya.
Menurut beliau, proses kemasukan pelajar dilaksanakan mengikut dasar, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta agensi berkaitan.
Katanya, sistem tersebut dilaksanakan secara telus, sistematik dan boleh diaudit bagi menjamin keadilan serta peluang yang sama kepada semua calon yang layak.
Tambahnya, setiap calon yang diterima masuk ke universiti adalah berdasarkan kelayakan dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Terdahulu, seorang ahli politik menerusi satu ceramah umum mendakwa wujud amalan menjual tempat pengajian dan kemasukan pelajar yang tidak layak ke universiti awam melalui saluran tertentu.


