KEDUDUKAN sebagai poster boy dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah jaminan untuk dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan baharu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkenan daripada istana amat penting dalam menentukan siapa yang akan menerajui kerajaan negeri.
“Sebagai Menteri Besar saya akan dilihat sebagai ‘poster boy’, itu lumrah.
“Tapi kita jelas bahawa apa pun keadaan, yang akan menentukan siapa menteri besar ialah Sultan Johor atau Pemangku Sultan Johor. Perkenan Istana Johor sangat penting,” katanya.
Strategi poster boy yang kebiasaannya digunakan dalam setiap pilihan raya penting bagi membina dan menarik keyakinan pengundi untuk menyokong calon daripada parti bertanding.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar semua pihak menjaga adab serta tertib sepanjang kempen PRN.
Katanya, sikap saling menghormati penting untuk diamalkan walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik.
“Tak perlu maki hamun, mencaci. Jagalah adab tertib, itu Tuanku titah,” katanya.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala penamaan calon pada 27 Jun.


