Kerajaan MADANI tunai MA63, Pelabuhan Bintulu kini milik Sarawak

Kerajaan MADANI tunai MA63, Pelabuhan Bintulu kini milik Sarawak

KERAJAAN Persekutuan secara rasmi menyerahkan status Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak pada Ahad bagi menunaikan komitmen yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyerahan pelabuhan pintu masuk gas asli cecair (LNG) berskala besar dan tersohor di peringkat global itu sebagai satu peristiwa bersejarah.

Beliau mengakui proses menyerahkan pelabuhan gergasi tersebut bukan suatu urusan yang mudah dan menuntut perbincangan yang mendalam. 

Menurut beliau, rundingan itu akhirnya berjaya diselesaikan melalui persefahaman dan kepercayaan di peringkat tertinggi antara beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Anwar menempelak suara sinis serta menegaskan bahawa peralihan status tersebut diputuskan secara harmoni tanpa sebarang unsur tekanan atau ugutan daripada pihak Sarawak. 

Beliau komited untuk memastikan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri terus terjalin kukuh berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.  

Pertemuan dan rundingan berkaitan peralihan status pelabuhan itu turut melibatkan peranan penting Menteri Pengangkutan serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas.

Berhubung pengurusan syarikat minyak dan gas, Perdana Menteri menegaskan perbincangan antara Petronas dengan PETROS telah mencapai persetujuan melibatkan beberapa prinsip asas dan perkara pokok.