Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit diesel bersubsidi diselaraskan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini menerusi mekanisme berasaskan MyKad.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri pada Ahad.
Jelas beliau, langkah penyelarasan itu membolehkan rakyat di Sabah dan Sarawak menikmati harga yang sama dengan Semenanjung, sekali gus menurunkan harga semasa RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
“Maknanya kalau kita guna MyKad, harga sama di Semenanjung dan Sabah Sarawak, iaitu RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya.
Menurut Anwar, penggunaan MyKad diperkenalkan untuk mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api yang disifatkan terlalu tinggi di sempadan negara.
“Kalau ditanya kenapa MyKad, (kerana) ketirisan dan penyeludupan itu terlalu tinggi di sempadan dari Kelantan, Kedah (serta) Perlis ke Thailand, dan sempadan Sabah Sarawak.
“Jadi kita boleh elak dan kita berterima kasih kerana maklum kepada pimpinan Sarawak dan Sabah, dan mereka sambut baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa perincian lanjut berhubung pelaksanaan mekanisme tersebut akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.
Menyentuh mengenai majlis penyerahan Pelabuhan Bintulu tersebut, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak yang turut meluluskan pemberian tanah kepada Kerajaan Persekutuan.
“Hari ini Alhamdulillah ada berita baik. Kita janji serah, kita serah. Ini kali pertama saya sebagai Perdana Menteri dapat tanah daripada negeri.
“Ini bukan perkara ringan. Ini menunjukkan prestasi pentadbiran pengurusan kepemimpinan kerajaan Sarawak yang saya puji,” tambahnya.




