PELAN Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) menjadi asas baharu kerajaan dalam mempercepat transformasi digital negara serta memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia menghadapi perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan tindakan yang dilancarkan hari ini turut dirangka bagi meningkatkan daya tahan negara berdepan ketidaktentuan geopolitik dan persaingan ekonomi digital di peringkat antarabangsa.
“Keutamaan kita ialah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak agar dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, ia bagi memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
MD2030 merupakan rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menandakan peralihan strategi negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi digital tempatan.
Anwar berkata, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), beliau turut menekankan bahawa pembangunan perkhidmatan digital kerajaan perlu dilaksanakan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara.
Menurut beliau, langkah itu penting untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta memperkukuh kepakaran digital dalam sektor awam.
“Insya-Allah dengan iltizam seluruh jentera Kerajaan MADANI, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kita bekerja, berkhidmat dan membina masa depan negara,” katanya.

