“Macam-macam difitnah, saya bukan pemimpin rasis”

“Macam-macam difitnah, saya bukan pemimpin rasis”

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau bukan seorang pemimpin yang bersifat rasis, sebaliknya komited menjadi pemimpin kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Menteri Besar Johor itu turut menasihati masyarakat Cina di negeri itu agar tidak terpedaya dengan tohmahan dan fitnah dibuat pemimpin parti politik lawan terhadap dirinya.

“Dalam kita hendak bangunkan negeri ini, ada sahaja suara individu yang dahulunya tidak pernah kelihatan di negeri ini tetapi datang cuba menghasut masyarakat Tionghua.

“Macam-macam saya difitnah, kata saya pemimpin rasis tetapi sebenarnya mereka tiada modal. Tetapi di sini saya mahu tegaskan BN bukan parti rasis sebaliknya kita buta warna kulit.

“Saya bukan pemimpin rasis, saya pemimpin untuk semua. Jadi mesej saya untuk masyarakat Tionghua di negeri ini, saya sedia bekerjasama dengan anda untuk majukan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan MB Johor Bersama Komuniti DUN Johor Jaya, di Plentong, malam tadi.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, masyarakat Cina di negeri itu perlu menyedari bahawa kerajaan negeri pimpinan Onn Hafiz telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan buat Johor.

“Banyak kejayaan yang kerajaan negeri sedia ada telah capai, sama ada melalui pembangunan atau ekonomi. Antaranya termasuklah kemasukan pelaburan luar berjumlah RM110 bilion, tahun lalu,” katanya.