KEUPAYAAN Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) tidak terjejas susulan kerugian pelaburan dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery adalah tidak benar, tegas Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, kerugian yang dialami KWAP sama sekali tidak menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membayar pencen penjawat awam kerana tanggungjawab itu kekal dipikul kerajaan.
“KWAP bukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Penjawat awam tidak mempunyai simpanan individu yang akan berkurang apabila satu pelaburan mengalami kerugian.
“Apa pun yang berlaku kepada eFishery, kerajaan tetap perlu membayar pencen penjawat awam seperti biasa,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, jumlah kerugian sebenar yang ditanggung KWAP adalah RM163 juta, bukannya RM200 juta seperti didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata, kedudukan kewangan KWAP masih kukuh dengan keseluruhan dana mencecah RM195 bilion pada 2025, manakala pendapatan pelaburan yang direkodkan bagi 2024 berjumlah RM18 bilion.
Katanya, nilai pelaburan dalam eFishery adalah kurang satu peratus daripada pendapatan pelaburan KWAP pada 2024 dan hanya sekitar 0.1 peratus daripada keseluruhan dana KWAP pada 2025.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya kerugian tersebut menyebabkan KWAP hampir muflis atau pencen penjawat awam tidak lagi dapat dibayar.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul menegaskan KWAP akan berusaha mendapatkan semula sebanyak mungkin dana yang hilang serta memastikan mana-mana pihak yang cuai dipertanggungjawabkan.
“RM163 juta itu tetap wang awam. Setiap sen yang boleh diperoleh semula mesti dikejar.
“Jika ada kecuaian, pihak yang bertanggungjawab mesti diambil tindakan. Kita tidak akan menyembunyikan kegagalan, tetapi jangan menipu rakyat dengan mendakwa KWAP hampir bankrap dan pencen penjawat awam tidak dapat dibayar,” katanya.



