PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi berkaitan mempercepat pelaksanaan penyelesaian isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua FELDA yang diumumkan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA.
Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan satu kertas dasar dalam tempoh sebulan untuk dibentangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi membolehkan pembinaan rumah kedua di kawasan penempatan FELDA dilaksanakan segera.
Menurutnya, arahan kepada agensi berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diberikan supaya tidak melengah-lengahkan penyambungan bekalan elektrik, manakala isu bekalan air akan diselaraskan bersama kerajaan negeri.
“Saya sudah beri arahan. TNB kalau boleh buat dahulu, buat dahulu. Jangan tanya saya lagi apa masalah. Keputusan sudah dibuat, yang penting sekarang ialah pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena Sambutan 70 Tahun FELDA di Dewan Perdana FELDA, pada Sabtu.
Anwar berkata, mana-mana kerajaan negeri yang berdepan kekangan kewangan bagi melaksanakan projek berkaitan boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
Beliau turut memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
Katanya, pindaan itu akan membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, sekali gus membantu menyelesaikan isu perumahan yang sekian lama dihadapi generasi kedua.
“Selepas draf dimuktamadkan dan diluluskan Lembaga Pengarah FELDA, saya akan segerakan untuk kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan beberapa program berkaitan masih boleh dilaksanakan lebih awal sekiranya mendapat persetujuan FELDA, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, walaupun pindaan akta itu belum diluluskan.
Pada 7 Julai lalu, kerajaan mengumumkan tujuh inisiatif baharu sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA, termasuk peruntukan RM990 juta bagi pembiayaan semula pinjaman sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.
Selain itu, lebih RM1 bilion turut diperuntukkan dalam Belanjawan tahun hadapan bagi meneruskan pelbagai inisiatif membantu warga FELDA, termasuk penyelesaian isu perumahan generasi kedua.



