PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal disingkirkan daripada gabungan itu.
Sebaliknya, beliau menegaskan, sebarang keputusan berkaitan kedudukan parti komponen bukan terletak di bawah kuasa individu sebaliknya diputuskan secara muafakat oleh kepimpinan PN.
“Itu bukan kuasa saya sebagai pengerusi. Itu adalah kuasa bersama secara muafakat dalam PN. Kita tengoklah nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Manifesto PN di Kompleks Pas Negeri Sembilan di Seremban pada Sabtu
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa Bersatu berdepan kemungkinan disingkirkan daripada gabungan berkenaan.
Samsuri bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut dan hanya menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat menerusi persetujuan bersama kepimpinan tertinggi PN.
Kenyataan itu sekali gus memberi bayangan bahawa sebarang perubahan terhadap struktur gabungan hanya akan diputuskan melalui mekanisme dalaman dan bukannya secara unilateral oleh mana-mana pemimpin.



