Sah! Formula 1 kembali ke Sepang

Sah! Formula 1 kembali ke Sepang

MALAYSIA bersedia menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Bahrain, Formula 1 (F1) serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) terhadap keupayaan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas berpeluang berbincang dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

“Saya merakamkan penghargaan mendalam kepada Putera Salman, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.

“Kita berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, kerjasama itu bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, sebaliknya mencerminkan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama dan hubungan rapat antara Malaysia dengan Bahrain.

Katanya, penganjuran berkenaan turut mengukuhkan kesediaan serta keupayaan Malaysia dalam menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

“Malaysia bersedia mengalu-alukan kehadiran semula F1, FIA, pasukan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

“Kita tidak sabar untuk menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra, selain terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan perlumbaan tersebut dijangka akan diadakan sekitar bulan Oktober depan.

Litar F1 Sepang menjadi venue gantian untuk GP Bahrain yang dibatalkan susulan konflik di Asia Barat.