BEKAS Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau tidak melakukan sebarang salah guna dana sepanjang menerajui institusi itu dan bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya siasatan dibuka semula.
Menurut beliau, pelbagai siasatan termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta audit forensik telah dijalankan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, namun tiada bukti penyelewengan ditemui.
“Siasatan sudah selesai pada 2021. Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Azam Baki, telah mengeluarkan surat rasmi bahawa tidak ada salah guna atau ‘sakau’.
“Tiba-tiba sekarang, apabila hampir pilihan raya, isu ini dibangkitkan semula. Kalau hendak siasat sekali lagi, silakan. Saya orang pertama yang akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan TH yang kembali menjadi perhatian menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Terdahulu, Abdul Azeez menghadiri kempen Barisan Nasional (BN) bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Menurutnya, jika benar beliau melakukan penyelewengan, tindakan undang-undang sudah tentu diambil ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Kalau saya benar-benar sakau, sudah lama saya dipenjarakan. Saya dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak melakukan apa yang didakwa,” katanya.
Mengulas syor RCI supaya audit forensik dilaksanakan terhadap beberapa transaksi dan pelaburan TH, Abdul Azeez berkata proses itu sebenarnya telah pun dijalankan sebelum ini.
Katanya, beliau telah memberi keterangan kepada polis sebanyak 11 kali selain ditahan reman oleh SPRM selama 14 malam bagi membantu siasatan.
“Audit forensik sudah dibuat, polis sudah siasat dan semua soalan telah dijawab. Setakat yang saya dimaklumkan, tiada apa-apa dan fail hanya menunggu arahan untuk tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.
Abdul Azeez turut menolak dakwaan bahawa beliau mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan pelaburan TH ketika menjadi pengerusi.
Sebaliknya, beliau menjelaskan setiap keputusan dibuat mengikut tatacara tadbir urus yang melibatkan pengurusan tertinggi, panel pelaburan, jawatankuasa pengurusan risiko, Lembaga Pengarah serta memerlukan kelulusan menteri berkaitan.
“Saya bukan pengerusi eksekutif. Semua keputusan dibuat melalui proses yang ditetapkan, bukannya saya seorang yang membuat keputusan,” katanya.
Beliau pada masa sama menggesa orang ramai membaca keseluruhan laporan RCI sebelum membuat sebarang kesimpulan dan tidak membiarkan isu berkenaan dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pendeposit TH.


