BARSIAN Nasional (BN) dan UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam pecah amanah atau salah tadbir di Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, jika benar wujud individu atau kumpulan yang melakukan penyelewengan atau salah tadbir dalam organisasi kerajaan dan badan berkanun, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa sebarang kompromi.
“Akibatnya akan dihadapi mereka dan saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, kerajaan menetapkan sesi persidangan khas Dewan Rakyat bagi membahaskan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos ini.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu antara lain mencadangkan audit forensik dilaksanakan bagi meneliti proses dan keputusan pelaburan terdahulu yang didakwa menyebabkan kemerosotan ketara nilai aset TH.
RCI yang menyiasat aspek pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 turut mendapati wujud beberapa transaksi yang mencurigakan serta dakwaan penyembunyian maklumat.


