Nurul Izzah letak jawatan Timbalan Presiden PKR

Nurul Izzah letak jawatan Timbalan Presiden PKR

NURUL Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR, sambil menegaskan keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang panjang bagi memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan dan meneruskan khidmat kepada masyarakat di luar kerangka politik.

Menerusi kenyataan, Nurul Izzah berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkannya mengorak langkah baharu tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan parti kerana menghormati keputusan yang diambilnya.

Nurul Izzah turut menyatakan keyakinan bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden yang akan menjalankan tugas serta Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya mampu menggalas amanah dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan demi memenuhi harapan rakyat.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan sokongan kepada perjuangan parti di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

“Saya akan terus kekal sebagai anggota KEADILAN, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, anggota dan penyokong PKR atas kepercayaan, doa serta pengorbanan sepanjang perjuangannya dalam parti.

“Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional KEADILAN pada 14 hingga 15 Ogos 2026 kelak,” katanya.