Kerajaan setuju permudah, percepat kenaikan pangkat anggota ATM dan PDRM

Kerajaan setuju permudah, percepat kenaikan pangkat anggota ATM dan PDRM

KERAJAAN secara prinsip bersetuju supaya proses kenaikan pangkat membabitkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipermudah serta dipercepatkan, selaras dengan skim perkhidmatan awam lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme baharu itu sedang dimuktamadkan dan dijangka diumumkan pada sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 30 Ogos ini.

Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sedang memperincikan kaedah pelaksanaannya.

“Kita berikan sedikit ruang kepada mereka untuk meneliti mekanisme pelaksanaannya,” katanya seperti dipetik Bernama.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak, Melaka, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Shamsul Azri serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar berkata, isu berkaitan kenaikan pangkat pegawai ATM itu turut dibangkitkan secara langsung kepadanya ketika mengadakan lawatan ke Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan terus diberi perhatian, termasuk menambah baik laluan kerjaya mereka.