RCI TH: SPRM buka 14 kertas siasatan, ada perakuan pertuduhan serta NFA

RCI TH: SPRM buka 14 kertas siasatan, ada perakuan pertuduhan serta NFA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 14 kertas siasatan berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, termasuk lapan siasatan baharu yang dikenal pasti hasil semakan lanjut terhadap laporan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, agensi itu turut menyerbu dan memeriksa 28 premis, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang, selain menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI tersebut.

Menurut beliau, selepas hampir dua minggu siasatan dijalankan, tiga daripada enam isu utama yang terkandung dalam laporan RCI telah diselesaikan sepenuhnya dengan perakuan untuk pertuduhan serta perakuan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala baki tiga lagi kini berada pada peringkat akhir siasatan.

“Semakan terperinci terhadap Laporan RCI Tabung Haji turut menemukan lapan isu tambahan berkaitan pelaburan bermasalah, sekali gus membawa kepada pembukaan lapan lagi kertas siasatan dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14 kertas siasatan,” katanya.

Setakat ini, SPRM telah melakukan tujuh tangkapan membabitkan siasatan tersebut. Daripada jumlah itu, lima suspek direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dilepaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan.

Abdul Halim berkata, seramai 115 individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan yang sedang berjalan.

“SPRM juga sedang menjalankan pengesanan aliran kewangan termasuk penelitian dokumen dan penyata kewangan daripada institusi perbankan serta kewangan yang berkaitan.

“Kami turut meneliti secara terperinci dokumen perjanjian kontrak dan dokumen pembayaran bagi memastikan setiap dakwaan dapat disiasat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, antara pelaburan yang sedang disiasat ialah melibatkan Deru Semangat Sdn Bhd dalam sektor perladangan sawit, ABRAJ Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Raudhah Real Estate, Al-Farida Residential Fund, Tabung Haji Properties Sdn Bhd, Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel & Residence.

Perkembangan itu dilihat sebagai antara tindakan penguatkuasaan terbesar susulan pendedahan Laporan RCI Tabung Haji yang dibentangkan baru-baru ini, dengan fokus diberikan kepada dakwaan salah laku, penyelewengan dan pelaburan yang merugikan institusi berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Halim turut memaklumkan bahawa SPRM menahan tujuh individu dalam Ops Chicks di Sabah pada 11 Ogos lalu yang membongkar sindiket penyeludupan ayam sejuk beku dari China dan Poland.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pengusaha perniagaan dan empat penjawat awam, dengan kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan.

“SPRM turut menyita 10 kontena bernilai kira-kira RM3.9 juta dan mengesan ketirisan cukai berjumlah RM1.01 juta. Sebanyak tujuh telefon bimbit juga disita dan kami sedang dalam proses membekukan akaun syarikat yang terlibat,” katanya.

Beliau menegaskan siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.