Kerajaan MADANI tidak pernah lulus lesen judi baharu

Kerajaan MADANI tidak pernah lulus lesen judi baharu

KERAJAAN MADANI tidak pernah meluluskan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, termasuk menambah bilangan premis perjudian di seluruh negara sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menurut kementerian berkenaan memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Madani tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah premis perjudian di Kedah.

“Sebaliknya, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada,” menurut MOF dalam kenyataan hari ini.

MOF turut mengingatkan bahawa kerajaan terdahulu juga mempunyai rekod berkaitan kawal selia perjudian.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 memutuskan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.

Bagaimanapun, kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kemudiannya memutuskan untuk meningkatkan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.

Apabila Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada akhir 2022, antara keputusan terawal dibuat adalah membatalkan peningkatan tersebut dengan kekerapan cabutan khas diturunkan semula kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.

MOF berkata, Kerajaan Madani kekal dengan pendekatan tegas dalam mengawal selia aktiviti perjudian berlesen selain memperhebat tindakan terhadap kegiatan perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk menghalang aktiviti perjudian di Kedah, termasuk melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menyifatkan urusan lesen perjudian sebagai berada di bawah bidang kuasa MOF dengan menyatakan “bola” kini berada di tangan kementerian berkenaan.

Isu itu timbul susulan usaha kerajaan Kedah meneliti ruang perundangan bagi menghalang operasi premis perjudian di negeri tersebut.

MOF bagaimanapun menegaskan, dakwaan bahawa Kerajaan Madani menambah lesen atau premis perjudian baharu adalah tidak berasas kerana lesen yang berkuat kuasa ketika ini bersandarkan kelulusan sedia ada sejak dekad 1990-an.-