KERAJAAN hari ini bersetuju mengembalikan kelayakan asas subsidi Program Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, sekali gus memberi kelegaan kepada jutaan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu akan memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna yang menikmati petrol RON95 bersubsidi.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.
“Manakala, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan pada 26 Mac lalu mengumumkan penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.
Dalam perkembangan terbaharu ini, kerajaan kini memutuskan untuk mengembalikan had asas kepada 300 liter sebulan, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.




