SERAMAI 91 rakyat Malaysia, masing-masing 55 orang di Nepal dan 36 di China, masih belum dapat dihubungi setakat 8 malam semalam susulan kejadian banjir yang melanda kedua-dua negara pada 26 Ogos lalu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
Menurut kementerian itu, semakan silang maklumat turut dilakukan bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima daripada kedua-dua negara.
Wisma Putra turut menggesa media dan orang ramai supaya merujuk kepada angka rasmi yang dikeluarkan kementerian berhubung rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi banjir di Nepal dan China.
“Angka berkenaan boleh berubah apabila hubungan berjaya diwujudkan dengan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi, serta apabila maklumat lanjut diterima daripada pihak berkuasa dan ahli keluarga,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan pihaknya memahami kebimbangan orang ramai berhubung keterbatasan maklumat peribadi mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Pada masa sama, kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi serta ahli keluarga terdekat mereka kekal menjadi keutamaan kementerian,” katanya.




