UMNO Melaka memberi isyarat jelas bahawa parti itu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan meneruskan momentum “gelombang biru” yang dicetuskan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan ke negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persiapan menghadapi PRN Melaka antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Menurutnya, beliau turut membawa suara akar umbi Melaka termasuk reaksi, teguran serta aspirasi ahli dan rakyat negeri itu untuk diberi perhatian dalam persiapan menghadapi pilihan raya.
“Bagi saya, politik bukan sekadar soal menang pilihan raya. Kemenangan mesti membawa manfaat kepada rakyat termasuk peluang ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan kesan pembangunan yang boleh dinikmati.
“Kita belajar daripada pengalaman, kita perkemas gerak kerja, kita satukan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memastikan ‘gelombang biru’ pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan turut melanda di negeri Melaka,” katanya.
Ab Rauf berkata, UMNO mesti terus menjadi parti yang dekat dengan rakyat, kuat di akar umbi serta teguh membawa suara Melayu dan kepentingan semua rakyat Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Melaka sudah bersedia menghadapi PRN berkenaan.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) sedang menunggu isyarat daripada Rauf untuk melakukan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.



