PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 sebagai manifestasi semangat perpaduan rakyat Malaysia yang terus teguh di bawah naungan Jalur Gemilang.
Beliau berkata, sambutan yang berlangsung dengan penglibatan ribuan rakyat itu turut memperlihatkan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang.
Menurut Anwar, penyertaan anggota keselamatan, penjawat awam, golongan muda serta masyarakat umum dalam perbarisan Hari Kebangsaan mencerminkan kekuatan sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaian.
“Awal pagi tadi saya bersama ribuan rakyat menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dalam suasana yang membanggakan serta penuh rasa kasih dan cinta kepada tanah air,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Anwar berkata, kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu tidak seharusnya sekadar menjadi catatan sejarah atau diraikan setiap tahun.
Sebaliknya, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan membangunkan negara yang lebih adil, sejahtera dan saksama untuk seluruh rakyat.
“Warisan kemerdekaan yang direbut dan diserahkan oleh para pejuang serta leluhur bangsa mesti terus kita isi dan sempurnakan dengan keberanian membina Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia sambil menyeru agar semangat cintakan negara terus disuburkan.-




