Anwar pelawa Ketua Menteri Kerala lawat Malaysia

Anwar pelawa Ketua Menteri Kerala lawat Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang Ketua Menteri Kerala, V.D. Satheesan untuk melakukan kunjungan ke Malaysia bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Anwar berkata, undangan itu disampaikan ketika menerima kunjungan hormat Satheesan dalam rangka lawatannya ke Kerala, India hari ini.

Menurut beliau, pertemuan tersebut membuka ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi besar Kerala dalam memperkukuh hubungan Malaysia-India, khususnya menerusi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Kami turut meneroka peluang kerjasama dalam bidang ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi.

“Hubungan perniagaan, pertukaran rakyat dengan rakyat serta jalinan sejarah dan budaya yang erat juga perlu terus diperkasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, kunjungan Satheesan ke Malaysia kelak diharap dapat meneruskan perbincangan yang telah dimulakan serta menterjemahkan potensi kerjasama kepada bentuk yang lebih konkrit.

Katanya, kerjasama yang diperkukuh itu bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia dan India, malah mampu membawa limpahan positif kepada rakyat kedua-dua negara.

“Saya turut mengundang CM Satheesan untuk berkunjung ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan ini dan menterjemahkan segala potensi yang ada kepada kerjasama yang lebih konkrit serta memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Anwar yang meneruskan misi Diplomasi Madani di Kerala turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dua hala melalui peningkatan perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat dengan rakyat.