KERAJAAN Persekutuan memberi komitmen untuk mempercepatkan proses persempadanan semula kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak susulan persetujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meningkatkan perwakilan kedua-dua negeri itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses berkenaan kini sudah dimulakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menyelesaikan beberapa perkara sebelum langkah seterusnya dapat diumumkan.
Menurut beliau, SPR perlu melengkapkan perkara berkaitan terlebih dahulu sebelum cadangan persempadanan itu dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Yang penting, proses itu sudah bermula dan pihak SPR sudah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini.
“Mereka mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum membuat kenyataan tambahan mengenai bila perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibawa ke Parlimen,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan komitmen supaya proses berkenaan tidak dilengahkan dan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Komitmen daripada Perdana Menteri adalah untuk pihak SPR menyegerakan proses ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kediaman pengamal media Sarawak, Chimon Upon, Kuching yang terjejas selepas bumbung bangunan bersebelahan runtuh dan menghempap rumah keluarganya.
Fahmi sebelum itu ditanya sama ada kerajaan yakin proses perundangan dan persempadanan semula berkenaan dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Langkah meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak itu sebelum ini diumumkan Anwar sebagai sebahagian daripada usaha mengembalikan semangat serta kedudukan kedua-dua negeri berkenaan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kerajaan turut bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan jumlah penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ditingkatkan melebihi kadar semasa.




