UMNO lancar sumbangan bantu Najib bayar denda RM50 juta

UMNO lancar sumbangan bantu Najib bayar denda RM50 juta

UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Ahamad Zahid berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur, selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“UMNO juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keputusan baginda menerusi mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Katanya, perkembangan itu amat bermakna buat Najib dan keluarganya, termasuk seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan.

“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.