PERTEMUAN hampir sejam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, petang tadi terus menjadi tanda tanya.
Pertemuan itu menjadi perkembangan terbaharu membabitkan kemelut Negeri Sembilan khususnya membabitkan pembatalan pelantikan Exco kerajaan negeri.
MalaysiaGazette melaporkan, menderaan membawa Anwar dilihat memasuki perkarangan istana kira-kira jam 6 petang sebelum Perdana Menteri beredar sekitar 6.57 petang ketika hujan membasahi ibu kota.
Krisis Negeri Sembilan semakin meruncing apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco kerajaan Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memperuntukkan seseorang ahli MMKN memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini menegaskan kesemua 10 ahli MMKN masih sah menjalankan tugas seperti biasa.
Ismail turut mendakwa tindakan menamatkan pelantikan Exco tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Beliau juga menyatakan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai baharu Exco kerana barisan sedia ada masih menjalankan tugas.
Selain Anwar, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail dilaporkan akan turut mengadap Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun sehingga petang tadi, kelibat Timbalan Perdana Menteri dan Ismail tidak kelihatan.



