SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat transaksi bernilai RM42 juta yang dikaitkan dengan projek solar 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang, susulan dakwaan pembayaran dibuat bagi tujuan di luar skop projek.
Siasatan itu turut memberi tumpuan kepada dakwaan transaksi berkenaan dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengarah (BOD) UiTM Holdings Sdn Bhd.
SPRM memaklumkan siasatan masih berjalan dan memerlukan penelitian lanjut, terutama membabitkan beberapa aspek teknikal serta kompleksiti kes.
Suruhanjaya itu berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan sebelum menentukan tindakan seterusnya berhubung siasatan berkenaan.
Pada masa sama, SPRM tidak menolak kemungkinan untuk meneliti isu lain yang mempunyai kaitan dengan kerugian dialami UiTM Holdings, termasuk aspek kelemahan tadbir urus dan pengurusan syarikat.
Langkah itu selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu tadbir urus serta pengurusan UiTM Holdings disemak susulan isu kerugian membabitkan syarikat berkenaan.



