KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan akan berakhir sebagai sahaja Parlimen dibubarkan, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata, sebaik sahaja pembubaran Parlimen dibuat, BN tidak lagi terikat dengan kerjasama yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu seperti mana janji kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Di saat Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai menegas gesaan Makkal Sakti yang mahukan BN keluar daripada kerajaan Madani.
Menurut Ahmad Zahid, BN sejak awal mengambil keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 bagi memastikan pentadbiran negara dapat dibentuk dalam keadaan politik yang ketika itu kompleks.
Beliau berkata, pendirian BN adalah untuk kekal bersama kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15, selaras dengan komitmen yang telah dibuat.
“Dalam keadaan yang kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan untuk bersama kerajaan selepas PRU15 dan komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15,” katanya.




