Perbezaan RM2.1 bilion perbelanjaan JALB, bukan ketirisan – Zahid  

Perbezaan RM2.1 bilion perbelanjaan JALB, bukan ketirisan – Zahid  

PERBEZAAN RM2.1 bilion antara peruntukan asal dan perbelanjaan sebenar Program Jalan Luar Bandar (JALB) bagi tempoh 2023 hingga 2025 bukan bukti berlakunya kehilangan wang, ketirisan atau penyelewengan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, perbezaan berkenaan timbul apabila perbelanjaan sebenar dibandingkan dengan peruntukan asal tanpa mengambil kira pelarasan peruntukan yang diluluskan.

“Perbezaan RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal itu bukan dengan sendirinya bukti wang hilang, ketirisan atau penyelewengan,” katanya ketika menjelaskan kedudukan kewangan JALB dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Zahid, peruntukan asal JALB bagi tempoh tiga tahun itu berjumlah RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion.

Daripada jumlah peruntukan yang dipinda itu, sebanyak RM6.108 bilion telah dibelanjakan, sekali gus meninggalkan baki kira-kira RM34.3 juta.

Beliau berkata, kedudukan kewangan program berkenaan perlu dinilai berdasarkan peruntukan asal, peruntukan selepas pindaan dan perbelanjaan sebenar, bukannya dengan membandingkan dua angka semata-mata.

Jelasnya, pertambahan peruntukan dibuat bagi memenuhi keperluan pembayaran projek, termasuk apabila kemajuan kerja lebih pantas daripada jangkaan atau tuntutan bagi projek terdahulu perlu diselesaikan.

Zahid turut menegaskan bahawa penambahan peruntukan tidak bermakna kementerian boleh membelanjakan wang sesuka hati kerana setiap pelarasan perlu mematuhi mekanisme serta kelulusan kewangan kerajaan.

“Maknanya, arahan menteri sahaja tidak membolehkan wang terus dibelanjakan. Kelulusan dan tatacara kewangan kerajaan tetap perlu dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, proses berkenaan membabitkan Pegawai Pengawal kementerian, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing.

Kelulusan dan pelarasan turut direkodkan menerusi sistem kerajaan termasuk MyProjek dan iGFMAS, manakala pembayaran diproses berdasarkan tuntutan serta pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Dalam perkembangan berkaitan, JALB melibatkan 415 projek pada pelbagai peringkat dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion setakat 30 September 2026.

Bagi tahun ini, perbelanjaan sehingga 30 September mencecah kira-kira RM2.48 bilion daripada peruntukan dipinda RM3.02 bilion, bersamaan 82.1 peratus.

Sementara itu, kementerian menerima peruntukan RM2.266 bilion bagi 2027 dengan keutamaan diberikan kepada projek yang sedang dalam pembinaan, komitmen sedia ada serta penyelesaian tunggakan bayaran.

“Keutamaan kita ialah menyiapkan projek yang sedang berjalan, menyelesaikan bayaran yang sah dan memastikan komitmen baharu seiring dengan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya