PAS menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang bertujuan mengekalkan kuasa, bukannya berteraskan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelaksanaan CSA menggambarkan pendekatan politik yang menjadikan kuasa sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan, termasuk melalui persetujuan dan sokongan bersyarat.
Menerusi ruangan Minda Presiden PAS, beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai satu bentuk pelaksanaan sifat-sifat Dajjal, meskipun tidak sampai mengangkat diri sebagai Tuhan.
“CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa..
“Walaupun tidak berlagak menjadi Tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal,” tulisnya.
Menurut Abdul Hadi lagi, hasil negara yang dikutip menerusi pelbagai bentuk percukaian adalah hak seluruh rakyat dan tidak sepatutnya dibezakan berdasarkan sokongan politik atau parti yang diundi.
Beliau berkata, kutipan cukai melibatkan hampir keseluruhan aspek kehidupan rakyat, termasuk barangan keperluan, makanan, pakaian, kenderaan dan kediaman, sama ada produk tempatan mahupun import.
“Sudah menjadi amalan di negara-negara seluruh dunia bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat. Hal ini termasuklah hasil yang diperoleh secara langsung daripada pelbagai bentuk cukai.
“Hasil percukaian ini melibatkan penggunaan dan keperluan seluruh rakyat, maka faedahnya wajib dipulangkan kepada semua rakyat, tanpa mengira sama ada mereka mengundi parti kerajaan ataupun parti pembangkang,” katanya lagi.
Justeru, katanya, manfaat daripada hasil negara wajib dikembalikan kepada semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka menyokong parti kerajaan atau pembangkang.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa mana-mana parti yang diberikan mandat membentuk kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan amanah kepada rakyat tanpa perlu disyaratkan melalui perjanjian politik terlebih dahulu.
Beliau mengumpamakan tanggungjawab kerajaan itu seperti seorang lelaki yang memikul kewajipan memberi nafkah selepas bergelar suami, tanpa perlu menandatangani sebarang aku janji ketika akad nikah.
Katanya, tanggungjawab tersebut sudah menjadi kewajipan yang perlu dilaksanakan dan bukannya sesuatu yang hanya ditunaikan selepas persetujuan tambahan dibuat




