Madani News

PM arah Menteri, Timbalan Menteri tangguh lawatan rasmi ke luar negara

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua lawatan rasmi Menteri dan Timbalan Menteri dihentikan buat sementara waktu bagi membolehkan anggota Jemaah Menteri memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan program utama kerajaan serta persiapan pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun Perdana Menteri memberi pengecualian kepada lawatan yang berkaitan mesyuarat berjadual atau urusan rasmi yang telah mendapat pertimbangan khusus Jemaah Menteri.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dimulakan dengan arahan agar semua lawatan menteri ke luar negara dihentikan sementara,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta kecuali bagi mesyuarat berjadual atau urusan rasmi yang telah diberikan kelulusan khas oleh Jemaah Menteri.

Fahmi berkata, langkah tersebut bukan sahaja untuk memastikan Jemaah Menteri memberi fokus kepada persiapan Belanjawan 2026, malah turut memberi ruang kepada persediaan rapi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada penghujung Oktober ini.

Back to top button