Madani News

PM, delegasi mula lawatan rasmi ke tiga negara

DATUK Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil, hari ini.

Pesawat membawa Perdana Menteri dan delegasi berlepas tengah hari tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap lawatan itu membawa manfaat nyata buat rakyat dan negara.

“Saya dan delegasi Malaysia tengah hari ini berangkat ke Rom, Itali bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteriz Giorgia Meloni selain mengadakan pertemuan bersama peneraju industri perniagaan.

“Seterusnya ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dan mengetuai sesi rundingan bersama gergasi industri negara Perancis.

“Saya juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement’ di Sorbonne University,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, lawatan itu turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Lula da Silva, sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN.

“Malaysia akan terus mengangkat kepentingan multilateralisme berteraskan undang-undang, tadbir urus AI, tindakan iklim dan kesihatan global demi masa depan dunia yang lebih adil dan inklusif,” katanya.

Back to top button