
Kandungan jelik: MCMC panggil pemimpin Pas
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil seorang pemimpin Pas untuk diambil keterangan berikutan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik di platform media sosial miliknya.
MCMC menerusi kenyataan menegaskan kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu, Datuk Johnny Lim Eng Seng dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
Suruhanjaya itu menegaskan, rakaman percakapan tersebut diadakan pada 28 Jun di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.
“Individu tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan. MCMC turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Justeru, MCMC menyeru orang ramai untuk tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R), terutamanya yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.
Walaupun MCMC tidak menamakan individu terbabit, difahamkan bahawa individu tersebut adalah Ketua Pas kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.
Zaharudin, yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memuat naik satu hantaran di Facebook yang dilihat memberi bayangan tentang seorang individu berbangsa Cina dari “Kampung Sungai Baru” dilantik menjadi Perdana Menteri ke-50 Malaysia.

Beliau juga memberi gambaran kononnya tokoh terbabit dilahirkan oleh pasangan warga asing yang mendapat kerakyatan negara ini melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan “membeli kondo di situ 23 tahun yang lalu.”
MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.
Peserta MM2H diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini bagi tempoh sehingga 10 tahun dan terbuka kepada pembaharuan.
Pada masa sama, pemimpin Pas itu juga dalam hantaran sama turun memuat naik tangkapan layar laporan berita berkenaan penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Mejar Jeneral Johnny Lim Eng Seng.
Minggu lalu, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim yang disifatkan sebagai melakar sejarah kerana beliau merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.