
Karikatur senda rundingan damai: Fadhli enggan mohon maaf
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari tidak berhasrat memohon maaf susulan tindakannya memuat naik satu karikatur yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan susulan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak.

“Saya serahkan kepada polis sebab sudah ada laporan. Saya tidak berhasrat untuk meminta maaf,” katanya dipetik Free Malaysia Today (FMT).
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa Ahmad Fadhli membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataan serta hantaran yang didakwa memperlekeh usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh pula mengecam hantaran itu dengan menegaskan bahawa Islam tidak mengajar umatnya menghina orang lain, sambil menyifatkan tindakan Ahmad Fadhli sebagai tidak matang.
Hantaran yang dimuat naik oleh Ahmad Fadhli di media sosial sebelum ini memaparkan satu karikatur tiga watak haiwan, kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang, sementara seekor monyet bertindak sebagai ‘hakim’.