
Thailand-Kemboja sedia untuk menamatkan ketegangan -Anwar
THAILAND dan Kemboja setuju mengundurkan tentera negara masing-masing daripada kawasan pertikaian yang membawa kepada perperangan.
Perkara dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkesempatan berhubung melalui telefon bersama pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Dalam perbualan itu Anwar menyarankan agar masalah antara kedua negara diselesaikan melalui rundingan.
Katanya, antara permintaan Malaysia adalah kedua-dua pasukan tentera negara melakukan gencatan senjata dan segera berundur daripada sempadan bagi mengelak ketegangan lebih serius.
“Semalam, saya dapat bicara bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja (mengenai konflik antara negara) kerana kedudukan Malaysia dan hormat mereka kepada kita.
“Saya beri pandangan dan kata ‘Please Mister Prime Minister, on behalf your friend in Malaysia, please stop and imidiate cease power’,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Jitra, semalam.
Anwar berkata, dalam perbualan panjang itu, pemimpin dua negara berkenaan setuju melakukan gencatan senjata dan mengarahkan tentera mereka di sempadan berundur.
“Mereka setuju tapi ada meminta masa sebab dia kata tentera sudah ada di sempadan, maka mereka harus ada waktu sedikit untuk menggerakkan tentera keluar.
“(Keputusan) ini saya syukur kerana apabila saya bicara bersama mereka, keduanya sambut baik dengan hormat. Sebab apa? Sebab Malaysia negara aman dan stabil,” katanya.
Terdahulu, tentera Thailand mendakwa seramai sembilan orang awam terbunuh dan 14 lagi cedera dalam serangan artileri yang didakwa dilakukan tentera Kemboja pagi tadi.
Kemboja menafikan dakwaan berkenaan, menegaskan pasukan mereka hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu oleh tentera Thailand.- MalaysiaPost