
Gejala buli MRSM di Melaka, Asyraf tidak layan rayuan ibu bapa
IBU BAPA pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang anak mereka terbabit dalam insiden buli dinasihatkan tidak perlu membuat rayuan meringankan hukuman yang diterima.
Malah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau sendiri tidak akan melayan segala pujuk rayuan jika ibu bapa pelajar yang membuli datang berjumpa dengannya.
Jelasnya, pihak MRSM tidak akan berkompromi dalam gejala buli dan hukuman buang sekolah merupakan hukuman yang wajar dikenakan kepada pelajar yang menjadi pembuli.
“Saya sudah tegaskan kepada pihak pengurusan MARA, bahawa jangan dilayani sebarang rayuan. Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu.
“Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli.
“Yang kita nak lahirkan generasi pemimpin berakhlak dan beradab bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan dan ketamadunan,” katanya di Facebook, hari ini.
Asyraf berkata demikian susulan menerima laporan kejadian buli terbaharu berlaku di salah satu daripada tiga MRSM di Melaka.
Tanpa menyebut nama MRSM tersebut, beliau berazam menjadikan MRSM dan Institusi-institusi Pendidikan MARA sebagai zon bebas buli.
“Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan dari pengurusan MARA.
“Enam pelajar tingkatan lina terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu. You touch you go,” katanya.


