Gov News

Eksport sarung tangan getah malaysia catat RM6 bilion sehingga Mei 2025

NILAI eksport sarung tangan getah Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 telah mencecah sebanyak RM6 bilion, berbanding RM15.4 bilion bagi keseluruhan tahun 2024, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, bahawa berdasarkan data tahun 2024, sebanyak 40 peratus atau RM6.1 bilion daripada jumlah eksport sarung tangan getah negara adalah ke Amerika Syarikat (AS), diikuti oleh Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 21 peratus, Jepun enam peratus, China empat peratus, manakala selebihnya dieksport ke lebih 160 buah negara di seluruh dunia.

“Jika dilihat kepada angka terkini sehingga Mei 2025, AS kekal sebagai pasaran utama dengan menyumbang 46 peratus daripada jumlah eksport sarung tangan getah Malaysia.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun pergantungan kepada pasaran AS adalah tinggi, Malaysia masih mengekalkan eksport yang meluas di pasaran global,” katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut mempunyai kelebihan daya saing berbanding dua pesaing utama dalam pasaran sarung tangan getah, iaitu Thailand dan China.

“Dari segi tarif import ke AS, Malaysia dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus iaitu sama seperti Thailand manakala China dikenakan tarif yang jauh lebih tinggi pada kadar 55 peratus.

“Dalam pasaran sarung tangan getah dunia, Malaysia menguasai kira-kira 40 peratus daripada pegangan pasaran global berbanding China dan Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang industri kelapa sawit, Johari berkata, usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah membantu meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) di ladang-ladang sawit di negara ini.

Menurut beliau, hasil BTS di estet negara menunjukkan peningkatan selama tiga tahun berturut-turut, iaitu daripada 15.49 tan sehektar pada tahun 2022 kepada 16.7 tan sehektar pada tahun 2024.

Namun begitu, katanya, jumlah tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan purata hasil pada tahun 2014 yang mencecah 19 tan sehektar.

“Kadar penanaman semula yang rendah telah menyebabkan peningkatan keluasan pokok sawit tua dan menyekat pertumbuhan produktiviti hasil BTS negara.

“Purata kadar tanaman semula sawit hanya dua peratus bagi tempoh 2014 hingga 2024 di mana untuk pekebun kecil persendirian hanya 0.7 peratus, pekebun kecil berorganisasi (satu peratus) dan estet besar hanya 2.5 peratus.

“Ini agak jauh daripada kadar penanaman semula sawit yang disasarkan, iaitu empat peratus setahun,” katanya.

Back to top button