Malaysian News

Peguam ibu Zara Qairina kecam fitnah kaitkan gambar dengan tokoh politik

PEGUAM yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri, mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta peguam Ram Singh, yang merupakan peguam bela kepada salah seorang pelajar yang didakwa berkaitan kes kematian remaja tersebut.

Shahlan berkata, gambar berkenaan yang diambil pada Jun 2025 langsung tidak mempunyai kaitan dengan kes tragis yang sedang menarik perhatian umum.

“Sebaran gambar tersebut dengan cubaan untuk mengaitkan individu tertentu dengan kes ini merupakan satu fitnah yang berniat jahat serta bertujuan mengelirukan masyarakat,”

“Cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat. “Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Zara,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menurut beliau, dakwaan dan spekulasi yang berleluasa di media sosial kononnya terdapat penglibatan tokoh berprofil tinggi dalam kes tersebut adalah tidak berasas.

Sebelum ini, seorang pembantu kepada Armizan telah membuat laporan polis berhubung satu video di TikTok yang dikatakan berunsur fitnah kerana cuba mengaitkan beliau dengan kematian Allahyarham Zara.

Shahlan menegaskan bahawa komitmen beliau selaku peguam adalah semata-mata untuk menegakkan keadilan buat Allahyarhamah Zara dan keluarganya, tanpa sebarang pengaruh luar.

“Untuk rekod, perkara-perkara utama telah pun dilaksanakan selepas pelantikan saya selaku peguam Zara.

“(Termasuklah) penggalian semula kubur telah berjaya, pelaksanaan post-mortem telah berjaya, berada di bilik bedah siasat selama lebih kurang lapan jam atas kehendak anak guam, memohon agar pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun dan permohonan inkues dibenarkan dan serang berjalan,” katanya.

“Sebagai peguam yang mewakili ibu Zara, saya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih. Tujuan saya hanyalah satu, iaitu menegakkan keadilan dan memastikan integriti sistem perundangan terpelihara,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa segala usaha beliau adalah demi mencari kebenaran serta memastikan keadilan ditegakkan untuk Allahyarham Zara.

Back to top button