Madani News

Malaysia, Brunei sepakat noktahkan isu sempadan darat menjelang 2027

MALAYSIA dan Brunei mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu sempadan darat yang masih tertangguh, termasuk Sektor F-G, dengan komitmen bersama bagi menyiapkan kerja-kerja pengukuran serta penandaan sempadan menjelang 31 Mei 2027.

Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia–Brunei (ALC) ke-26, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, menzahirkan kepuasan terhadap kemajuan pelaksanaan Surat Pertukaran (Exchange of Letters, EOL) 2009, yang terus menjadi tonggak kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat ke-26 Jawatankuasa Pelaksanaan EOL, yang berlangsung pada 23 Julai 2025 di Kuala Lumpur, telah menekankan kepentingan untuk mengekalkan momentum, mencapai persefahaman bersama serta memperkukuh hubungan dua hala.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin mengakui bahawa Sektor F-G masih belum menunjukkan kemajuan yang ketara. Sehubungan itu, Jawatankuasa Bersama Sempadan Darat telah diarahkan untuk mempercepat proses penyelesaian isu tersebut dengan mengambil pendekatan konstruktif berpandukan Nota Pertukaran (Exchange of Notes, EON) 2024 yang dimeterai pada Ogos lalu.

Kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen terhadap pelaksanaan perjanjian sedia ada, termasuk EOL 2009, Memorandum Persefahaman 2012 mengenai proses pengukuran bersama, serta lima Perjanjian Sempadan Darat yang telah dimeterai sebelum ini.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang kawasan sempadan yang masih belum ditanda akan diselesaikan berdasarkan prinsip “watershed”, sejajar dengan kandungan EON 2024.

“Merujuk kepada EON 2024, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa penyelesaian bagi Sektor F-G hendaklah berlandaskan prinsip ‘watershed’, dengan sasaran untuk menentukan satu garisan tunggal dan menyempurnakan kerja pengukuran serta penandaan menjelang 31 Mei 2027,” menurut kenyataan itu.

Sejak dimulakan pada tahun 2012, kerja pengukuran sempadan darat Malaysia–Brunei telah mencatat kejayaan sepanjang 214.638 kilometer, bersamaan 41 peratus daripada keseluruhan sempadan.

Kerja-kerja pengukuran di Sektor E-F dijangka selesai pada tahun ini, diikuti Sektor A-B pada tahun 2026, dan Sektor F-G pada tahun 2027. Selaras dengan itu, kedua-dua negara telah bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Kedua, yang menyasarkan 66 peratus sempadan darat dapat ditanda menjelang tahun 2028.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran MoU dalam sektor kesihatan antara Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Sebelum itu, Sultan Brunei telah tiba di Malaysia pada 25 Ogos 2025 untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Baginda diiringi oleh Pengiran Muda ’Abdul Mateen Bolkiah, serta menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei.

Pada 26 Ogos, Sultan Hassanal Bolkiah telah diberi sambutan negara di Istana Negara, diikuti dengan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang dianjurkan oleh Seri Paduka Baginda.

Wisma Putra dalam kenyataan terdahulu turut memaklumkan bahawa lawatan negara ini disusuli oleh Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia–Brunei (ALC) ke-26, iaitu mekanisme dua hala tertinggi yang menjadi wadah bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama, membincangkan isu-isu berbangkit, serta bertukar pandangan berkenaan hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Back to top button