
Ahli UMNO, BN jangan sertai himpunan anjuran PN esok!
PERINGATAN kepada semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak melibatkan diri dalam ‘Himpunan Turun Anwar” anjuran Perikatan Nasional (PN) yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan, penyertaan dalam himpunan dianjurkan PN itu adalah tindakan tidak wajar.
“Langsung tiada faktor yang mendesak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan daripada jawatan Perdana Menteri.
“Kerajaan Perpaduan ini dibentuk hasil kesepakatan yang dicapai pada 24 November 2022 dan ahli UMNO serta BN perlu kekal berpegang kepada persefahaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal; Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Datuk Jefridin Atan dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Nor Mohammad Shawaludin Abd Malik.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, himpunan tersebut juga hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
“Perhimpunan seperti ini tidak membawa sebarang manfaat, malah mereka yang menyertainya akan turut terpalit sebagai pihak yang merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.
Ahmad turut mengingatkan bahawa kerajaan sentiasa mendekati dan membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada golongan B40.
“Memang ada yang kata RM100 tidak cukup, tetapi jumlah itu diberikan kepada 22 juta penerima melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Itu belum diambil kira lagi usaha kerajaan menurunkan harga minyak, program Jualan Rahmah dan kadar tol yang tidak dinaikkan,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu.