Madani News

Perkembangan teknologi AI perlu seiring dengan ilmu sejarah

USAHA memperkukuh teknologi moden dalam kalangan generasi muda perlu digerakkan seiring dengan minat terhadap ilmu sejarah bagi meningkatkan lagi semangat cintakan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, dalam arus kemodenan menuju era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek sejarah tetap perlu dititikberatkan.

“Jadi cabaran kita itu adalah bagaimana kita boleh membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan yang ada agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu juga boleh berkembang dalam kalangan generasi muda dan masyarakat.

“Ia tidak semestinya semua harus mengambil disiplin dan kemantapan daripada ajaran (sejarah), tetapi sistem itu harus memberikan minat (bidang sejarah),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Peluncuran, Penyampaian Watikah dan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Anwar menambah, peranan pihak berkepentingan kini adalah untuk menelusuri data empirikal dalam sejarah.

“Kerana saya lihat kadang-kadang perbincangan dalam negara seperti sekarang, di mana kita banyak majlis tentang digital, AI, semikonduktor, teknologi baharu.

“Itu kadang-kadang meremehkan peranan sejarah. Padahal kalau kita belajar AI itu sendiri, AI akan berjaya kalau kita faham nilai akhlak dan sejarah kita. AI itu akan jadi penerusan pandangan asing sekiranya kita hanya menciplak tanpa mempertahankan identiti dan kekuatan kita sendiri termasuk sejarah.

“Kerana apa yang dilontar dan dimuntahkan oleh AI itu berdasarkan apa yang dimuatkan, dimasukkan dalam teknologi itu sendiri,” katanya.

Justeru, Anwar menegaskan perlu ada kefahaman dan pendekatan tentang sejarah yang ditekankan bagi mendukung hasrat tinggi Malaysia.

Terdahulu, seramai 16 tokoh sejarawan yang terdiri daripada 10 orang sejarawan, dua ahli arkeologi, dua ahli antropologi dan sosiologi serta wakil kementerian, dilantik dalam Majlis Sejarawan Negara.

Penubuhan badan berkenaan yang dikendalikan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) berperanan besar dalam menasihati kerajaan berhubung naratif sejarah negara.

Turut hadir, Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Back to top button