Madani News

ASEAN: Anwar, Trump dijangka mengadakan mesyuarat dua hala

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan mesyuarat dua hala serta majlis menandatangani perjanjian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan pada Ahad ini.

Menurut jadual rasmi Presiden AS itu yang dikongsikan di laman America’s Roll Call, Trump dijadual berlepas dari Washington pada Sabtu, jam 10.40 malam (waktu tempatan), dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 10 pagi Ahad.

Selain pertemuan dengan Anwar, Trump juga dijangka mengadakan pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi menandatangani beberapa perjanjian dua hala.

Lawatan Trump ke Malaysia itu dijangka diakhiri dengan majlis makan malam rasmi bersama pemimpin ASEAN dan delegasi AS.

Kunjungan itu merupakan lawatan pertama Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai presiden, dan lawatan kedua presiden AS ke Malaysia sejak kunjungan Barack Obama lebih sedekad lalu.

Selain Trump, lebih 20 pemimpin global dijadual menghadiri sidang kemuncak kali ini, termasuk Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa serta Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.

Back to top button