Madani News

ASEAN terus jadi pusat keseimbangan strategik kuasa besar dunia – Anwar

ASEAN akan terus memainkan peranan sebagai pusat keseimbangan strategik antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China dalam memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28 di ibu negara, Perdana Menteri berkata, pendirian teguh ASEAN itu dalam mengekalkan hubungan bersahabat dengan semua pihak mencerminkan kematangan diplomatik blok serantau itu.

“Semalam kita bersama Presiden Donald Trump, hari ini kita bersama China. Itulah makna sebenar keutamaan ASEAN,” katanya disambut dengan tepukan delegasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurutnya, keupayaan ASEAN mengekalkan ‘centrality’ atau pemusatan adalah kunci kepada kestabilan dan kebolehpercayaan rantau ini di mata dunia.

“Saya ingin memuji dan mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan ASEAN atas kebijaksanaan mengekalkan kedudukan seimbang ini serta hubungan bersahabat dengan semua negara.

“Inilah yang kita anggap sebagai bentuk keterlibatan berterusan yang membina kepercayaan dan membolehkan kita menangani cabaran bersama,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri China, Li Qiang, menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia sebagai tuan rumah sidang kali ini, sambil menyifatkan hubungan ASEAN–China sebagai saling menghormati, saling bergantung dan saling memperkukuh.

Li turut menegaskan komitmen Beijing untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan politik dengan ASEAN menerusi penandatanganan Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China–ASEAN versi 3.0 (ACFTA 3.0) yang disifatkannya sebagai satu langkah penting dalam era baharu integrasi serantau.

Dalam ucapannya, beliau turut memberi peringatan terhadap peningkatan tekanan terhadapa sesebuah negara dalam membuat keputusan sendiri (unilateralisme) dan perlindungan perdagangan global, dengan menekankan bahawa kekuatan sebenar rantau ini terletak pada kesatuan dan kebergantungan bersama.

Back to top button